Pemandu lori tersepit, bertembung dengan MPV

Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SERIAN, 18 Okt: Seorang lelaki tersepit di dalam lori yang dipandunya selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Innova di Jalan Serian-Tebedu hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.18 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sampai di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, di mana pemandu lori masih tersepit pada bahagian kaki kanan.

“Komander operasi membuat size ip dan kerja-kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat sehingga mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans KKM di lokasi bagi tujuan perawatan awal.

Seterusnya pihak Bomba membuat kerja-kerja pembersihan jalan raya dan bertolak balik ke balai selepas memastikan keadaan selamat. — DayakDaily