Lelaki maut, langgar belakang jengkaut di Sibu

Kemalangan yang telah meragut nyawa mangsa.

SIBU, 31 Mac: Seorang lelaki meninggal dunia selepas melanggar sebuah jengkaut yang dipakirkan di Jalan Nanga Tutus, di sini semalam (Mac 30).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada kam 9.27 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kenari yang telah melanggar belakang sebuah jengkaut yang dipakir di atas jalan menuju ke Nanga Tutus.

“Pasukan operasi kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak ambulans.

“Pemeriksaan oleh Pegawai Kesihatan dari Hospital Sibu mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut pihak polis turut dijalankan di lokasi kejadian. — DayakDaily