Dokumen sementara mudahkan akses kepada pendidikan dan kesihatan – Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah (file photo)

KUCHING, 30 Nov: Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan (DSITKS) memudahkan pemegangnya memperoleh akses kepada pendidikan dan kesihatan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ianya bukan dokumen kewarganegaraan Malaysia.

“Ianya juga tidak memberi hak atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada pemegangnya,” katanya dalam dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut Fatimah, Kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berumur 21 tahun ke bawah yang lahir di Sarawak.

Katanya, kementerian telah menerima sebanyak 60 permohonan sejak permohonan DSITKS dibuka pada 1 November 2022.

“Permohonan untuk DSITKS boleh dipohon terus di kementerian atau melalui Pejabat Daerah yang terdekat.

“Bagi tujuan ini, pemohon hendaklah memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak berstatus Warganegara Belum Ditentukan dan telah memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa tempoh sah laku DSITKS adalah selama dua tahun dari tarikh kelulusan permohonan, manakala permohonan perlanjutan boleh dilakukan sekiranya pemegang masih belum memperoleh kewarganegaraan.

DSITKS perlu dikembalikan ke kementerian sebaik sahaja pemegang memperolehi kewarganegaraan dan kad pengenalan. — DayakDaily