Peruntukan RM500,000 bagi Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak pada 2023

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 30 Nov: Sarawak memperuntukkan sejumlah RM500,000 pada tahun 2023 bagi tujuan Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS).

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, ia akan memberi manfaat kepada seramai 1,000 orang penerima.

“Bantuan Mikro KIRWaS merupakan bantuan tunai kepada Ketua Isi Rumah Wanita atau Ibu Tunggal bernilai RM500 untuk setiap penerima.


“Bantuan adalah bertujuan bagi menjana atau menambah pendapatan mereka,” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bagi tahun 2022 ujar Fatimah, seramai 590 orang mendapat manfaat daripada bantuan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM295,000.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian juga menguruskan bantuan-bantuan selain bantuan bencana.

Khusus bagi kumpulan rentan katanya, seramai 53,040 orang telah menerima bantuan kebajikan bulanan melibatkan perbelanjaan RM205.5 juta daripada Januari sehingga Oktober 2022.

“Manakala bantuan sekaligus telah diberikan kepada 764 orang dengan perbelanjaan sebanyak RM507,000,” kata Fatimah. — DayakDaily