DBKU akan bina ‘Eco Depo’, tapak perlupusan sampah serba canggih

Abdul Wahap (kiri) menyaksikan pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad menandatangani dokumen perjanjian persefahaman dengan Timbalan Dekan Keterlibatan Industri, Komuniti dan Pengkomersilan Unimas, Dr Faridah Sahari.

KUCHING, 31 Julai: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merancang membina kemudahan Eco Depo yang seluas 17 ekar di Demak Laut bagi mengatasi masalah tapak pelulusan sampah haram di bandar raya ini.

Datuk bandar Kuching utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, berkata Eco Depo terbabit akan membolehkan orang ramai membuang sampah mereka secara percuma di tapak itu dan mengelakkan pembuangan di tapak pelupusan sampah haram.

“Pelbagai sampah boleh dibuang ke tapak terbabit, kecuali bahan buangan sisa berjadual dan bahan buangan dari hospital,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara DBKU dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini, hari ini.

Perjanjian persefahaman terbabit juga melibatkan Pestech International Bhd dengan Layar Bumimas Sdn Bhd dan Betsol Sdn Bhd.

Abdul Wahap (tengah) bersama wakil dari Unimas, Pestech International Bhd, Layar Bumimas Sdn Bhd dan Betsol Sdn Bhd yang menandatangani perjanjian persefahaman dengan DBKU.

Abdul Wahap berkata tapak Eco Depo juga ada bahagian mengasingkan sampah kepada bahan buangan organik, peralatan elektrik dan elektronik, bahan binaan dengan kemudahan kitar semula serta penghasilan bahan kompos yang boleh menjana pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Cadangan Eco Depo akan dibawa kepada kerajaan negeri, sebelum DBKU dapat memulakan pembinaan.

“Satu tapak pelupusan sampah haram di Samariang, kita (DBKU) sudah berkali-kali membuat operasi dan mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang membuang sampah di sana, tetapi selepas itu orang lain pula yang melakukannya.

“Kakitangan DBKU tidak dapat berada 24 jam di tapak pelupusan haram terbabit bagi mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang membuang sampah mereka di sana.”

Mengenai operasi menangkap anjing liar di Taman Budaya, di sini, sejak 24 Julai, lalu selepas berlaku kes orang ramai digigit haiwan itu, Abdul Wahap berkata sebanyak sembilan ekor anjing liar telah dapat ditangkap pihaknya.

“Orang (ramai) boleh pergi ke sana sekarang (Taman Budaya), hanya ada beberapa tempat yang kami tutup kerana perangkap (anjing) kami masih ada disana,” katanya.

Abang Wahap juga berkata hanya seekor anjing yang ditangkap pihaknya telah disahkan positif rabies oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak. — DayakDaily