Penyelia kilang lesap wang RM89,000 akibat terpedaya Macau scam

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 31: Seorang penyelia kilang lesap wang wang tunai sebanyak RM89,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau scam.

Mangsa yang berusia 58 tahun itu membuat laporan polis berhubung kes berkenaan di Miri semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa berkenaan telah dihubungi oleh seorang lelaki menyamar sebagai ā€œJack Tanā€ dan kononnya dari Public Bank yang mengatakan mangsa mempunyai hutang pinjaman peribadi sebanyak RM70,000.

Katanya, kemudian mangsa diminta untuk menghubungi Bahagian Jenayah Polis dan mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki kononnya anggota polis ā€œInsp Mazlanā€.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa dikatakan terlibat dengan satu kes jenayah melibatkan dadah dan perlu mengeluarkan wang dari akaunnya kerana dipercayai terlibat dengan kes jenayah itu.

“Mangsa seterusnya telah memasukkan wang berjumlah RM89,000 ke dalam empat akaun yang berlainan melalui lima kali transaksi pada Julai 9 sehingga 26 lepas,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa menyedari ditipu setelah suspek mengarahkannya untuk memasukkan wang tambahan sebanyak RM10,000 sebagai bayaran mengeluarkan peguam dari lokap seperti yang diarahkan Mahkamah.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau turut memberitahu, seorang wanita berusia 57 tahun di Sibu turut lesap wang sebanyak RM3,000 akibat ditipu Macau scam.

“Sehubungan itu, polis mengingatkan
masyarakat umum supaya tidak panik dan tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali.

“Orang ramai juga tidak perlu takut walaupun diasak atau ditakut-takutkan oleh pemanggil tersebut dan bertenang dalam menghadapi situasi penipuan ini.

“Letak saja telefon itu kalau tidak yakin, merasa diri tidak berdaya untuk mengelak dari ayat penipuan jika berterusan bercakap di telefon,” katanya. ā€” DayakDaily