Dakwaan Projek Hospital Miri dirancang PH tiada asas, kata Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Nov: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyangkal dakwaan Setiausaha DAP Sarawak, Senator Alan Ling bahawa Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri adalah projek yang dirancang untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan(PH).

Dalam satu kenyataan hari ini, Fadillah menyifatkan dakwaan Alan itu satu pembohongan dan tidak berasas sama sekali.


“Ini kerana Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri itu telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-Sebelas(RMK-11) tahun 2016.

“Projek berkenaan telah diterima secara rasmi pada 28 Mac 2016 melalui penerimaan Borang Permulaan Pelaksanaan Projek daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Malah jelas Fadillah, Jabatan Kerja Raya(JKR) Malaysia telah menyerahkan Surat Setuju Terima(SST) kepada pihak kontraktor pada 11 Jun 2020 iaitu ketika zaman Kerajaan sekarang.

Manakala tarikh milik tapak kepada pihak kontraktor adalah pada 25 Jun 2020.

Dalam pada itu Fadillah turut berkata, dakwaan Alan bahawa PH dapat menjimatkan RM50 juta untuk projek itu juga menunjukkan beliau sendiri tidak faham apa perbezaan antara siling projek dan kos kontrak.

“Siling projek berkenaan adalah RM340 juta, manakala kos kontrak RM289.2 juta. Sememangnya kos siling dan kos kontrak akan berbeza.

“Kos siling ialah peruntukan yang diberi, manakala kos projek ialah nilai kontrak yang kerajaan beri kepada kontraktor,’tegas Fadillah.

Justeru kata Fadillah, adalah jelas Alan sendiri yang tidak tahu fakta sebenar dan mengeluarkan kenyataan secara membabi-buta untuk tujuan politicking dan untuk memburukkan Gabungan Parti Sarawak(GPS) semata-mata.

Jelas beliau, dakwaan bahawa PH telah mencadangkan supaya Majlis Pecah Tanah dibuat bagi Hospital Miri pada Mac 2020 adalah tidak berasas disebabkan Tarikh Milik Tapak projek adalah pada 26 Jun 2020.

“Apa yang dilakukan Kerajaan PH sepanjang 22 bulan memerintah hanyalah “claim credit” kepada semua usaha dan projek yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Sedangkan sepanjang memerintah mereka sibuk ‘politicking’ sepanjang masa sehingga menyebabkan kerajaan PH sendiri tumbang,” ujar Fadillah lagi.

Sementara itu, beliau turut berkata bahawa Kerajaan GPS tidak pernah menyembunyikan fakta mengenai Hospital Miri seperti yang didakwa oleh Alan.

Berhubung Projek Pembinaan Hospital Lawas, Fadillah berkata ianya telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di bawah Rolling Plan 4 RMK11 tahun 2011.

JKR Malaysia katanya telah menyerahkan Surat Setuju Terima kepada pihak kontraktor pada 30 April 2020 dengan nilai kontrak projek RM165 juta.

Tarikh Milik Tapak diberi pada 30 Jun 2020 kepada pihak kontraktor dan Tarikh Siap Semasa adalah pada 26 Disember 2023, kata Fadillah. – DayakDaily