Dadah bernilai RM137,662 akan dilupuskan esok

Zamani (tengah) menunjukkan kotak mengandungi dadah yang akan dilupuskan, bersama pegawainya pada sidang media Program Perlupusan Barang Kes JSJN Siri 1/ 2018 Peringkat Kontinjen Sarawak.

KUCHING, Feb 6: Jabatan Siasatan Jenayah Narkortik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) akan mengadakan program melupuskan pelbagai dadah yang dirampasnya keseluruhannya bernilai RM137,662.20 di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP), di Kampung Mambong, Padawan, di sini, esok (Feb 7).

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Dato Zamani Hamdan berkata dadah terbabit keseluruhannya seberat 899.62 gram terbahagi kepada tujuh jenis telah dirampas polis bagi kes dadah di daerah Kuching, Sri Aman, Betong, Mukah dan Kapit dari 2008 hingga 2016 serta telah selesai menjadi bahan bukti pendakwaan kes di mahkamah.

“Antara rampasan dadah itu yang akan dilupuskan dalam program terbabit ialah jenis syabu seberat 784.95 gram yang mempunyai nilai semasa mencecah RM125,592 diikuti ganja seberat 3.86 gram dengan nilai semasa RM77.20,” katanya ketika mengadakan sidang media Program Perlupusan Barang Kes JSJN Siri 1/ 2018 Peringkat Kontinjen Sarawak di IPK, Jalan Badruddin, di sini, semalam.


Zamani berkata dadah jenis lain yang akan dilupuskan ialah ketamine seberat 4.6 gram (RM552), pil Ecstasy seberat 8.61 gram atau 31 biji (RM1,550), Erimin 5 seberat 2.53 gram atau 13 biji ( RM260), pil nospan seberat 95.07 gram atau 590 biji (RM295) dan botol urine seberat 25.545 kilogram atau 778 botol (RM9,336).

“Prosedur perlupusan ini dijalankan dibawah peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207. Dengan ini, kami menyeru masyarakat di sini (Sarawak) supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar masalah penyalahgunaan dadah dapat dibendung bersama,”katanya.

Katanya ini kerana anggota polis tidak dapat ditempatkan di setiap pelusuk negeri ini yang luas sempadannya dengan Indonesia, Brunei dan Sabah disamping maklumat dari masyarakat amat membantu pihaknya bagi mengenalpasti individu yang menjadi dalang dalam kes dadah terutama yang membabitkan anak muda di daerah terpencil.

Manakala misi JSJN ialah memerangi dadah berbahaya sebagai musuh utama negara dengan menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat dan mengurangkan permintaan dan bekalan dadah terbabit. — DayakDaily