Bomba Sarawak bantu pam keluar banjir ‘termenung’

Pasukan bomba membantu mengepam air banjir 'termenung' di Kampung Mang, Asajaya.

KOTA SAMARAHAN, Feb 6: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menjalankan khidmat khas dengan membantu mengepam air banjir ‘termenung’ Kampung Mang, di sini hari ini.

Turut berada di lokasi untuk membantu ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad.

Seorang penduduk kampung yang terjejas berkata, keadaan banjir ‘termenung’ atau air lambat surut berbanding kawasan lain menjadi masalah utama penduduk kampung di situ setiap kali berlaku hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari.


Dakwanya, sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menjadi antara punca air mudah bertakung dan tidak mengalir dengan baik.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan drastik bagi memastikan kampung kami tidak lagi diancam banjir ‘termenung’.

“Lebih merumitkan lagi apabila banjir ‘termenung’ ini bukan sahaja berlaku setiap kali berlakunya hujan lebat, tetapi juga pada waktu musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, masalah banjir ‘termenung’ sedalam kira-kira 0.3 meter itu bukan sahaja memenuhi perkarangan rumah penduduk, malah turut menyebabkan akses jalan turut digenangi air. — DayakDaily