Penggunaan teknologi media sosial bantu salur maklumat terkini banjir

Uggah (berdiri, kiri) bertanya khabar kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Kompleks Sukan Asajaya hari ini.

ASAJAYA, Feb 6: Penggunaan teknologi seperti media sosial serta medium akhbar dalam talian (‘online’) arus perdana banyak membantu dalam menyalur maklumat terkini berhubung bencana banjir yang melanda Sarawak ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan radio amatur turut banyak membantu dalam menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Menurutnya, buat masa ini segala urusan penyaluran maklumat terkini tentang banjir di kawasan terjejas tidak menghadapi kesukaran.

“Segala maklumat terkini boleh diperolehi dengan mudah dengan adanya aplikasi WhatsApp selain bentuk media sosial lain.

“Kita boleh perolehi data terkini mengenai jumlah mangsa yang terjejas termasuk jumlah keluarga dan kawasan terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Pusat Pemindahan Banjir di Kompleks Sukan Asajaya di sini hari ini.

Turut hadir ialah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Mengulas lanjut, Uggah bagaimanapun memberitahu, terdapat kawasan yang masih sukar dihubungi dengan telefon.

Tetapi ujarnya, ia tidak menjadi alasan kepada jawatankuasa pengurusan bencana tidak turun padang memantau keadaan di kawasan yang sukar dihubungi.

“Kita juga telah menerima pengiktirafan lima bintang daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini,” katanya. — DayakDaily