Covid-19 bukan penghalang JHS banteras pembalakan haram

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 11 Dis: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasan dalam usaha untuk membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, walaupun perlaksanan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac akibat pandemik Covid-19, semua agensi terlibat sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dalam negeri termasuk JHS yang bertanggung jawab untuk melindungi kawasan hutan serta hidupan liar di negeri ini.


“Bagi tujuan ini, JHS baru-baru ini telah dibekalkan dengan sebuah pesawat yang dilengkapi dengan teknologi Hyper-Spektral bagi tujuan pemantauan dari udara bagi di seluruh kawasan hutan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat  Baharu JHS di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun aktiviti pembalakan haram masih berlaku di Sarawak namun aktiviti tersebut berada pada situasi terkawal rentetan penguatkuasaan berterusan oleh JHS.

Katanya, kerjasama daripada masyarakat setempat dalam melaporkan kegiatan tersebut amat penting sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan dan pelindungan hutan serta hidupan liar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kita tidak boleh meletakkan anggota penguatkuasa JHS di semua  tempat pada setiap masa. Oleh sebab itulah kita memerlukan kerjasama daripada komuniti setempat untuk menjadi mata dan telinga kita agar kita boleh melaksanakan tugas penguasaan dengan segera termasuk mengesan aktiviti pembalakan haram, pengesananan penyakit pokok hutan serta kebakaran yang berlaku di hutan terlibat,” katanya.

Awang Tengah menandatangani Plak Sebagai Simbolik perasmian ibu pejabat baharu Jabatan Hutan Sarawak di Bangunan Baitumakmur 2, Kuching.

Terdahulu, dalam ucapannya, Awang Tengah menyatakan penghargaan beliau kepada JHS kerana berjaya mengekalkan sehingga 7.9 juta hektar  hutan atau 63 peratus daripada keluasan keseluruhan Sarawak .

Katanya, kerajaan Sarawak amat komited dalam dasar pembangunannya agar ia selari dengan usaha mengekalkan sejumlah tujuh juta hektar keluasan hutan dengan satu juta hektar digazetkan sebagai kawasan terlindung sepenuhnya (TPA) sementara selebihnya dijadikan hutan simpan kekal.

Beliau berkata, JHS turut memperluaskan kawasan liputan untuk inisiatif ‘Heart of Borneo’ (HoB) yang merupakan kerjasama antara tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei bagi membolehkan konservasi dan pelindungan sementara mempertingkatkan kelestarian pembangunan di Borneo.

“Bagi Sarawak, kita telah memperluaskan kawasan yang diuruskan menerusi inisiatif HoB daripada 2.1 juta hektar kepada 2.7 juta hektar daripada bahagian selatan hinggalah ke bahagian utara negeri ini,” katanya.

Awang Tengah berkata, inisiatif lain yang dilaksanakan oleh JHS termasuk perlaksanan program penanaman semula hutan bagi menampung kelestarian Industri perkayuan Sarawak  sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada hutan asli dan Program Pemulihan Lanskap Hutan (FLR). — DayakDaily