Hotel Sri Malaysia lancar promosi RM1

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) melalui rangkaian Hotel Seri Malaysia menawarkan promosi bilik dengan hanya RM1 untuk penginapan malam kedua bagi setiap pembelian bilik pada kadar RM188.

Motac dalam satu kenyatan hari ini berkata, pakej tersebut sedang berlansung dan akan berakhir pada 31 Dis ini tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

“Pakej itu termasuk sarapan pagi untuk dua orang dan potongan 20 peratus untuk jumlah keseluruhan bil makan dan minum dan dengan hampir 2000 bilik penginapan di 21 lokasi strategik seluruh negara, Hotel Sri Malaysia menawarkan pelbagai kemudahan seperti bilik penginapan, kolam renang, bilik mesyuarat, WIFI dan aktiviti rekreasi.


“Selain itu, Kafe Rasa Rasa Seri Malaysia juga menampilkan konsep moden dan urban dengan sentuhan chef selebriti tempatan untuk memberi keselesaan dan kelainan kepada pengunjung dengan harga yang berpatutan,” kata kenyataan itu.

Mengulas perkara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri berkata, promosi tersebut merupakan inisiatif hotel terbabit untuk mengalakkan percutian dalam negara dengan amalan norma baharu seiring dengan Kempen Penyemarakan Pelancongan Domestik yang dilancarkan oleh kementerian sebelum ini.

Katanya, Hotel Seri Malaysia sentiasa mengutamakan kesihatan, kebersihan pengunjung serta persekitaran sebagai objektif utama dalam operasi perhotelan dengan memastikan semua prosedur Standard (SOP) dalam pencegahan Covid-19 dilaksanakan dengan ketat di semua premis hotel terbabit.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan promosi tersebut boleh mengubungi Hotel Sri Malaysu 03-2299 777 atau emel kepada central@serimalaysia.com.my.

Manakala, tempahan bilik di hotel itu boleh terus dibuat di mana-mana cawangan Hotel Seri Malaysia atau menerusi emel: rsvn@serimalaysia.com.my. — DayakDaily