Buku Warna-Warni Borneo: Panda CLICK! dilancar

Pelancaran buku Warna-Warni Borneo Panda CLICK! Bersama Masyarakat Kapuas Hulu, Kalimantan Barat dan Kapit, Sarawak. Dari kiri: Anchal Salleh (Wakil Rumah Dagum), Peter Jabat (Tuai Rumah Peter), Baharudin (Kecamatan Hulu Gurung), Douglas Pungga (Pegawai Daerah Bukit Mabong), Dr Henry Chan (Pengarah Pemulihara WWF-Malaysia), Hari Arti Khalsa (Wakil WWF-Jerman), dan Rewi Hamid Bugo (Penaung WWF-Malaysia). Foto (c) WWF-Malaysia/Ezen Chan

Kuching, Dis 18: Buku ‘Warna-Warni Borneo: Panda CLICK! Bersama Masyarakat Kapuas Hulu, Kalimantan Barat dan Kapit, Sarawak’ dilancarkan di SMA Creative Heritage Innovation Centre di Kuching semalam.

Buku tersebut dihasilkan dengan kerjasama WWF-Indonesia dan WWF-Malaysia dan majlis pelancaran telah disempurnakan Pegawai Daerah Bukit Mabong, Douglas Pungga.

Buku setebal 200 muka surat itu memaparkan kisah-kisah penduduk yang tinggal di kawasan Hulu Katibas, Song dan Baleh, Bukit Mabong, Sarawak.


Ia juga memaparkan kisah-kisah penduduk yang tinggal di kawasan Hulu Gurung dan Empanang, Kalimantan Barat.

“Buku ini bukan sahaja memaparkan keindahan adat dan budaya penduduk, tetapi juga kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di kawasan itu.

“Aktiviti fotografi dalam kawasan kampung harus diteruskan dan proses ini boleh membantu pihak kerajaan untuk mengetahui perkembangan dan masalah yang berlaku di setiap kawasan,” kata Douglas pada ucapan pelancaran.

Pelancaran buku Warna-Warni Borneo Panda CLICK! Bersama Masyarakat Kapuas Hulu, Kalimantan Barat dan Kapit, Sarawak.
Dari kiri: Dr Henry Chan (Pengarah Pemulihara WWF-Malaysia), Douglas Pungga (Pegawai Daerah Bukit Mabong), Hari Arti Khalsa (Wakil WWF-Jerman), Rewi Hamid Bugo (Penaung WWF-Malaysia), dan Baharudin (Kecamatan Hulu Gurung). Foto (c) WWF-Malaysia/Ezen Chan
Lawatan pameran gambar. Dari kiri: Hari Arti Khalsa (Wakil WWF-Jerman), Baharudin (Kecamatan Hulu Gurung), Dr Henry Chan (Pengarah Pemulihara WWF-Malaysia), Douglas Pungga (Pegawai Daerah Bukit Mabong), dan Peter Jabat (Tuai Rumah Peter). Foto (c) WWF-Malaysia/Ezen Chan

Dalam pada itu, Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr Henry Chan yang turut berucap berkata melalui gambar dan cerita mereka, orang ramai dapat memahami impak yang akan terjadi kepada masyarakat apabila pembangunan semakin mendekati.

Katanya, impak itu boleh dinilai melalui perubahan yang berlaku pada flora dan fauna serta tradisi mereka.

“Dokumentasi gambar itu boleh dijadikan sebagai bahan untuk melobi pihak kerajaan dan jabatannya untuk meningkatkan peruntukan tahunan mereka dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan terutamnya apabila melibatkan pembangunan antara sempadan Indonesia dan Malaysia.

“Hanya melalui pembangunan secara lestari, kita dapat memastikan alam semula jadi dan sumber asli boleh dipelihara dan dipulihara untuk kesejahteraan orang ramai dan hidupan liar,” ujar Henry.

Gambar berkumpulan perserta Panda CLICK! Malaysia dan Indonesia dengan tetamu kehormat. Foto (c) WWF-Malaysia/Ezen Chan

Program yang dijalankan selama hampir 10 bulan di Sarawak menyaksikan 19 peserta mengambil sekitar 20,000 keping gambar yang bertemakan alam sekitar, pengetahuan tradisional, aktiviti seharian, adat dan budaya serta infrastruktur yang terdapat di kawasan mereka.

Para peserta juga dilatih untuk bercerita di khalayak ramai berpandukan gambar yang mereka ambil.

Sebanyak 50 hasil gambar daripada peserta Panda CLICK! di Indonesia dan Malaysia dipamerkan pada majlis pelancaran itu.

Pameran gambar itu akan diteruskan di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya bermula pada 19 Disember 2019 sehingga 19 Januari 2020.

Pameran ini terbuka kepada orang awam.

Program ini merupakan sebahagian daripada projek Ekonomi Hijau dalam Heart of Borneo (HoB). — DayakDaily