Budaya suka menyimpan barang lama memudahkan kebakaran rumah merebak

Abang Johari (dua dari kiri) menyampaikan sijil Program Komuniti Bomba kepada penduduk kampung di Satok ketika majlis Penutupan Program Bomba Komuniti N.8 Satok di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Datuk Merpati Jepang, Satok, sambil disaksikan oleh Khirudin.

KUCHING, Dis 16: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mendapati budaya suka menyimpan barang lama sehingga memenuhkan seluruh rumah telah menjadi punca kebakaran rumah lebih mudah merebak ke rumah lain di kawasan kampung sekitar bandaraya ini.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman mendedahkannya berikutan kes kebakaran rumah kampung sekitar bandaraya ini didapati menghasilkan api yang bukan sahaja cepat marak malahan kuat bahangnya sehingga mudah merebak ke rumah bersebelahan, yang menghairankan pihaknya sebelum ini.

“Budaya kita masyarakat kampung apabila membeli barang baru, barang yang lama tidak dibuang atau disedekahkan tapi terus disimpan sehingga padat dalam rumah. Bila berlaku kebakaran, barang tersebut menjadi bahan bakar kepada api dan kebakaran kecil akan mudah menjadi besar dan merebak ke rumah sebelah dengan cepat kerana bahang api amat kuat,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas majlis Penutupan Program Bomba Komuniti N.8 Satok di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Datuk Merpati Jepang, Satok, di sini, semalam.

Khirudin berkata pihaknya sehubungan itu akan berkongsi pengetahuan mengemaskan barangan rumah dengan baik bagi mengelakkan kebakaran rumah kepada penduduk kampung sekitar bandaraya ini yang akan menyertai Program Bomba Komuniti selain mengajar mereka pengetahuan melawan kebakaran dan menjaga pili bomba.

“Kita juga akan mendidik mereka pentingnya melaporkan segera kes kebakaran kepada pasukan bomba, kerana ada yang terlebih dahulu mengambil gambar selfie dan memviralkan gambar kebakaran dahulu di laman sosial sebelum bertindak melawan kebakaran atau melaporkannya kepada kami,” katanya.

Beliau juga mengalakkan penduduk kampung bandaraya ini menyertai program Bomba Komuniti kerana mereka selepas dilatih akan diberikan baju seragam khas dan sekiranya berlaku kebakaran di kampung, pasukan bomba akan lebih senang mengenalpasti penduduk kampung yang sudah dilatih dan boleh membantu mereka memadamkan kebakaran.

Manakala ketika ucapannya di majlis itu, Khirudin berkata setakat ini sebanyak 749 rumah panjang sudah menubuhkan pasukan Bomba Komuniti dari keseluruhanya sebanyak 4,971 rumah panjang di negeri ini dan program Bomba Komuniti akan terus diperluaskan lagi ke rumah panjang dan kampung di negeri ini tahun hadapan.

Katanya Sarawak ketika ini mempunyai keseluruhannya seramai 4,772 ahli program Komuniti Bomba, seramai 5,495 ahli Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti yang ditaja Petronas dan kerajaan negeri serta Unit Keselamatan Negeri, serta sebanyak 58 pasukan bomba sukarela dengan seramai 1,859 ahli pasukan. — DayakDaily