Brunei laksana caj keluar dan masuk bermula 1 Okt

File photo for illustration purposes

KUCHING, 7 Okt: Kerajaan Brunei Darussalam mula menguatkuasakan Caj Perkhidmatan (CaP) dan Pas Perjalanan Tetap (FCP) pada 1 Oktober lepas ke atas semua individu termasuk warga negaranya yang hendak keluar dari atau masuk ke negara itu melalui pos-pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan ataupun berjalan kaki.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Konsulat Jenderal Brunei Darussalam di Kuching, caj tersebut dikecualikan ke atas individu yang berada dalam kenderaan milik kerajaan Brunei dan negara lain untuk tujuan rasmi, kenderaan untuk tujuan pengebumian, kenderaan jabatan kerajaan, dan kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah.

Caj perkhidmatan dengan kadar B$3 (RM9.30) akan dikenakan ke atas setiap individu yang melintasi pos-pos kawalan darat negara itu dengan Malaysia (Sarawak).

“Bagi individu warganegara Brunei, Malaysia dan warga negara asing yang melakukan perjalanan kerap sekurang-kurangnya 15 kali sebulan untuk tujuan pekerjaan atau persekolahan adalah layak untuk memohon Pas Perjalanan Kerap ini,” menurut kenyataan itu.

Pas tersebut boleh dipohon untuk tempoh sebulan, tiga bulan atau enam bulan bergantung kepada keperluan individu terlibat.

“Untuk tempoh sah selama sebulan Caj FCP sebanyak B$50 seorang akan di kenakan kepada individu yang melintasi pos kawalan tersebut untuk tujuan berkerja manakala bagi pelajar pula caj FCP sebanyak B$30 akan di kenakan kepada mereka.

“Bagi tempoh sah untuk tiga bulan, caj sebanyak B$150 dikenakan kepada mereka yang berkerja sementara pelajar B$90 dan untuk tempoh sah enam bulan pula, caj sebanyak B$300 untuk mereka yang berkerja dan B$180 untuk pelajar,”

Tambah kenyataan itu, pemohonan bagi mendapatkan pas etrsebut boleh dilakukan secara atas talian melalui portal Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam www.pmo.gov.bn/travelportal.

Manakala pemohonan bagi pengecualian dari dikenakan CaP bagi kes-kes khas boleh dipohon melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam. — DayakDaily