Brolin: MP guna ‘Rakyat Sarawak’ sebagai modal untuk salahkan Putrajaya

Brolin Nicholsion

KUCHING, 16 Okt: Ketua Belia DAP Serian Brolin Nicholsion berpendapat Ahli Parlimen (MP) Batang Sadong, Nancy Shukri, sengaja menggunakan perkataan “Rakyat Sarawak” sebagai modal untuk menyalahkan kerajaan persekutuan.

Ini berhubung isu kerajaan Sarawak tidak berpuas hati dengan jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lepas.

“Setahu saya, Lim mengatakan Sarawak susah untuk ‘disenangkan’. Ini merujuk kepada jawapan Lim (seperti yang diterbitkan di laman YouTube The Star Online) kepada soalan wartawan yang mengatakan kerajaan Sarawak tidak puas hati dengan peruntukan belanjawan dan bukan merujuk kepada rakyat Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.


“Ini jelas menunjukkan Nancy sengaja memutar-belitkan kenyataan dengan menggunakan ‘Rakyat Sarawak’ sebagai modal untuk menyalahkan kerajaan persekutuan,” dakwa Brolin.

Nancy, dalam perbahasannya di Parlimen semalam, menyifatkan kenyataan Lim yang menggunakan perkataan “begging” adalah satu penghinaan buat rakyat Sarawak.

Beliau menyifatkan kenyataan itu merendahkan martabat orang Sarawak dan seolah-olah rakyat Sarawak mengemis.

Sejak Belanjawan 2020 dibentangkan di Parlimen kata Brolin, ahli-ahli parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah yang paling banyak mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati dengan peruntukan belanjawan.

“Walhal, Belanjawan 2020 membuktikan kerajaan persekutuan prihatin terhadap rakyat Sabah dan Sarawak, dimana kedua-dua wilayah ini menerima peruntukan yang besar, iaitu RM9.6 bilion dari keseluruhan bajet,” katanya.

Menurut Brolin, Sabah dan Sarawak sebenarnya menerima 31.9 peratus daripada belanjawan pembangunan khas untuk negeri, iaitu RM30.1 bilion.

Dalam Belanjawan 2020, daripada RM56 bilion untuk pembangunan, RM25.9 bilion adalah untuk pembangunan am seluruh negara.

“Ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan yang mengatakan akan memberi peruntukan sebanyak 30 peratus kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Nancy, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan Bajet 2020 di Dewan Rakyat semalam, berkata rakyat Sarawak bukan bersikap “hard to please” kerana Sarawak dan Sabah menerima hampir separuh peruntukan pembangunan yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan.

Tambah beliau, rakyat Sarawak sedar dan tahu di mana hak yang perlu dituntut. Jumlah peruntukan RM9.6 bilion hanya 17.1 peratus daripada keseluruhan bajet pembangunan sebanyak RM56 bilion.

Daripada jumlah tersebut, Sarawak dan Sabah masing-masing hanya mendapat RM4.4 bilion dan RM5.2 bilion. — DayakDaily