Bot tunda tiada lesen perkapalan dalam negeri, ditahan di Miri

Kru kapal warga asing ditangkap untuk siasatan lanjut.

MIRI, 13 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot tunda pada jarak lebih kurang lapan batu nautika dari muara Sungai Miri, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, Kapal Maritim (KM) Stapa yang sedang menjalankan rondaan operasi di sekitar perairan Miri telah mengesan sebuah bot tunda dalam keadaan berapung dan mencurigakan sekitar jam 2.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan lapan kru lelaki, terdiri daripada lima warga Indonesia, dua warga India dan seorang warga tempatan, berumur dalam lingkungan 22 hingga 53 tahun.


“Kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen perkapalan ketika diperiksa.

“Semua kru dan bot tunda kemudiannya ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar 1952/60 kerana gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10 ribu atau penjara tidak lebih satu tahun.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di Zon Maritim Malaysia amnya dan perairan Miri khasnya.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily