Bot tunda gagal kemuka dokumen vesel dan dokumen pelepasan pelabuhan ditahan di Miri

Bot tunda yang ditahan dalam operasi tersebut.

MIRI, 19 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot tunda membawa barge yang sarat dengan batu kerikil di perairan Miri, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, kejadian berlaku pada lebih kurang jam 2.35 petang, di mana sebuah bot tunda dan barge yang mencurigakan dikesan sedang bergerak di perairan Baram.

Susulan itu, pasukan operasi bertindak menahan bot tersebut pada jarak lebih kurang 1.7 batu nautika barat laut Kuala Baram.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan barge tersebut telah gagal mengemukakan dokumen vesel dan dokumen pelepasan pelabuhan (Port Clearance),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurutnya juga, bot tunda dan barge tersebut dikendalikan tiga kru lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

“Kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya.

Bot tunda dan barge serta muatan batu kerikil 1,300 tan metrik itu diiring ke Kawasan Bersauh Baram untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.

Kes akan disiasat di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kastam 1967.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily