Penunggang motosikal maut dirempuh Hilux

Keadaan Hilux dan motosikal mangsa yang remuk selepas kemalangan tersebut.

SERIAN, 18 Mei: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia akibat dirempuh sebuah Toyota Hilux di Jalan Gedong-Simunjan hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kejadian dikatakan memasuki lorong ke Ladang Sungai Kerang, Gedong sekitar jam 9.40 pagi.

Jelasnya, sebuah Hilux yang bergerak dari arah Gedong ke Simunjan gagal mengelak mangsa lalu merempuhnya sehingga menyebabkan mangsa tercampak.


Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa dikenali sebagai Rinol Merudi berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di Klinik Gedong.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Serian dan dijadualkan akan dibedah siasat pada esok (20 Mei).

Manakala pemandu Hilux dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily