Berbusana tradisional, adiwira, cikgu Nancy tarik minat pelajar ketika kelas dalam talian

Antara busana atau kostun yang digayakan oleh cikgu Nancy Thomas ketika mengendalikan kelas dalam talian

Oleh: Cornelius Kadir Edison

MIRI, 12 Dis: Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) mungkin lebih seronok jika dilakukan secara bersemuka di dalam kelas.

Namun, keaadan pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak Mac lalu memaksa Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan PdP secara dalam talian sekaligus memberikan cabaran bukan sahaja kepada warga pendididik tetapi juga kepada pelajar itu sendiri.


Bagi Nancy Thomas, pelbagai kaedah digunakan dalam sesi PdP agar pelajar tidak bosan dan sentiasa berminat mengikuti pembelajaran secara dalam talian yang dikendalikan olehnya.

Cikgu Nancy yang mengajar subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri sentiasa tampil dengan pelbagai cara untuk mengajar termasuk dengan berbusana tradisional lengkap dari pelbagai kaum dan kostum adiwira sehingga menjadi buah mulut orang ramai.

Antara busana atau kostun yang digayakan oleh cikgu Nancy Thomas ketika mengendalikan kelas dalam talian

“Tujuan asal saya memakai pakaian tradisional dan kostum adiwira ni sekadar untuk seronok dan bergembira dengan anak-anak murid saya.

“Ini kerana sesi pembelajaran dalam talian menggunakan aplikasi ‘google meet’ ini sebenarnya bukan mudah dan agak membosankan sebab tidak dapat bersemuka secara fizikal dengan pelajar-pelajar saya,” katanya ketika dihubungi DayakDaily.

Katanya, pada peringkat awal beliau mengenakan busana dari kaum India pada minggu pertama PdP kerana ingin mengembirakan salah seorang daripada pelajarnya dari kaum itu yang baharu sahaja kematian ibunya.

“Selepas itu, mereka (pelajar) sudah pandai meminta saya untuk memakai busana tradisional daripada suku Iban, sehinggalah minggu ke-3, saya mengajar dengan bertukar-tukar pelbagai kostum.

Antara busana atau kostun yang digayakan oleh cikgu Nancy Thomas ketika mengendalikan kelas dalam talian

“Saya akan memakai kostum yang berbeza-beza setiap kali kelas online dan setakat ni saya sudah memakai 12 kostum yang berbeza seperti Orang ulu, Bidayuh, Lun Bawang, Dusun Tatana Kuala Penyu, Sabah, Ngepan Iban, India, Cheongsam, Songket Melayu Tradisional, kostum adiwira Spiderwoman dan Superwoman,” katanya

Cikgu Nancy berkata, kreativitinya itu membuatkan pelajar berasa seronok memandangkan mereka akan tertanya-tanya jenis busana seterus yang bakal digayakan olehnya.

Pada masa sama katanya pelajar beliau dapat mempelajari jenis-jenis pakaian tradisional kaum-kaum yang di negara ini melalui apa yang dipakai oleh beliau.

“Minggu depan, saya akan pakai 3 lagi kostum yang berbeza sebagai penutupan sebelum cuti sekolah,” katanya.

Tambah cikgu Nancy, dalam masa seminggu beliau meluangkan masa selama 12 jam untuk mengendalikan sesi PdP secara dalam talian iaitu pada hari Selasa, Rabu dan khamis manakala pada isnin dan Jumaat merupkan sesi formal secara bersemuka dengan pelajar di sekolah.

“Jadual saya untuk kelas dalam talian dibahagi kepada dua sesi iaitu dua jam bersama pelajar Tingkatan 6 dari Semester satu dan dua jam lagi bersama pelajar dari Semester tiga,”katanya. — DayakDaily