Projek Naiktaraf Loji Rawatan Air Bayai dijangka siap suku kedua 2021

JBALB Logo

KUCHING, 12 Dis: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang giat melaksanakan Projek Naiktaraf Loji Rawatan Air Bayai di Bahagian Sri Aman.

JBALB menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ia bagi mengatasi masalah bekalan air di Bandar Simanggang dengan melibatkan kerja-kerja menaiktaraf kapasiti pengeluaran loji daripada 33.33 liter juta sehari (LJS) kepada 53.33 LJS.

“Projek Rakyat yang berharga sekitar RM21.5 juta ini telah bermula pada 4 Mei, 2019 dan dijangka siap pada suku kedua 2021 dengan kemajuan di tapak setakat ini adalah sebanyak 40.44 peratus.

“Manakala bagi Pelan Jangka Masa Panjang pula, Projek Cadangan Pemindahan Sumber Air Mentah dari Batang Lupar ke Loji Rawatan Air Bayai di Bahagian Sri Aman yang dianggarkan bernilai RM140 juta telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Sarawak untuk pelaksanaan di bawah Projek Rakyat.

“Projek yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak ini kini di bawah peringkat rekabentuk dan dijangka tender pada suku pertama tahun 2021 dengan tempoh pembinaan selama 21 bulan,” menurut kenyataan itu.

Skop projek cadangan itu kata JBALB adalah merangkumi pembinaan muka sauk, pemasangan saluran paip sepanjang 30km dari muka sauk ke Loji Rawatan Air Bayai, stesen pam penggalak dan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.

Pelaksanaan projek ini dapat menjamin Loji Rawatan Air Bayai sentiasa mempunyai air mentah yang mencukupi untuk menampung permintaan air di kawasan Simanggang dan kawasan sekitarnya untuk jangka masa panjang.

Selain itu, JBALB juga memaklumkan bahawa projek “Proposed Construction of Treated Water Storage System at Sri Aman Division” juga telah dicadangkan untuk pertimbangan bagi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Projek tersebut katanya dianggarkan berjumlah RM30 juta akan menambah kapasiti takungan air di kawasan Simanggang.

“Skop projek ini melibatkan pembinaan tangki takungan air, pemasangan paip dan kerja-kerja berkaitan di kawasan SMK Simanggang, Taman Sri Jaya, Kem Pakit dan Simpang Klassen,” kata JBALB. — DayakDaily