Belanjawan Sarawak 2021 prihatin rakyat – Abdullah Saidol

Abdullah Saidol

KUCHING, 9 Nov: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol menyifatkan Belanjawan Sarawak 2021 sebagai prihatin.

Katanya, ia bertepatan dalam keadaan rakyat menghadapi pandemik Covid-19 yang menyebabkan keadaan ekonomi tak menentu dan pendapatan masyarakat terjejas.

“Bajet ini antara terbesar di kalangan negeri-negeri lain, iaitu kira-kira 9.832 bilion dan ia satu belanjawan surplus dengan lebih 30 peratus untuk operasi dan yang penting untuk diketahui RM6.304 bilion adalah untuk pembangunan.


“Dan daripada jumlah itu kira-kira 67 peratus atau RM4.251 bilion adalah untuk pembangunan luar bandar,” katanya pada sidang media di Komplek Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Abdullah, setakat 31 Oktober 2020, pendapatan kerajaan negeri adalah RM10.7 bilion, termasuk SST minyak dan gas kira-kira RM2.98 bilion.

Katanya, ekonomi Sarawak agak lestari namun keberanian dan keprihatinan kerajaan negeri dalam memperuntukkan bajet dengan jumlah ini sangat dihargai.

“Dengan meneruskan dana RTP berjumlah RM400 juta, ia amat penting bagi luar bandar kerana membabitkan pelaksanaan projek kecil dan sederhana.

“Dana RM41.3 juta bagi pembangunan infrastruktur untuk pusat pertumbuhan luar bandar (RGC) yang membabitkan RGC Opar, Beladin dan Semop akan mempercepatkan infrastruktur di RGC terutama di Pulau Bruit,” katanya.

Beliau yang juga Adun Semop berkata, peruntukan RM29 juta menerusi bantuan untuk nelayan di seluruh Sarawak ketika musim tengkujuh akan memberi manfaat kepada lebih 2,000 nelayan di kawasan Semop.

Bajet ini bersifat inklusif yang menyentuh pelbagai aspek dari segi bantuan rakyat, perniagaan, ekonomi dan infrastukturnya, ujar Abdullah. — DayakDaily