Aaron: Tender Projek Bangunan Ct Scan Hospital Kapit dalam peringkat pemilihan

Datuk Aaron Ago Dagang (file photo)

KUCHING, 9 Nov: Projek pembinaan bangunan baharu bagi menempatkan mesin CT scan di Hospital Kapit telah ditender pada bulan Ogos 2019 secara tender terbuka.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Aro Dagang berkata, penilaian tender telah dilaksanakan dan dalam peringkat memuktamadkan pemilihan.

“Kementerian Kewangan (MOF) telah bersetuju meluluskan perakuan Lembaga Perolehan KKM supaya projek ditawarkan kepada syarikat pada harga anggaran jabatan.


“Pihak syarikat telah bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan dengan beberapa syarat.

“Penilaian ke atas syarat-syarat persetujuan syarikat sedang dilaksanakan dan akan diangkat kepada Lembaga Perolehan KKM untuk dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan MP Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Aaron memaklumkan bahawa KKM kini sedang mengkaji keperluan tambahan mesin hemodialisis di Hospital Kapit.

Katanya, KKM juga sedang mengenal pasti tempat yang sesuai untuk membina unit hemodialisis baharu, bagi menampung peningkatan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis.

Sehingga kini, terdapat 14 buah mesin hemodialisis di unit hemodialisis, Hospital Kapit.

“Bagi unit hemodialisis di Klinik Kesihatan Song pula, terdapat tujuh buah mesin hemodialisis telah ditempatkan bagi menampung pertambahan pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis.

“Seterusnya, bagi Klinik Kesihatan Belaga, Klinik Kesihatan Sungai Asap dan Klinik Kesihatan Tubau, buat masa ini, tiada unit hemodialisis dibina di fasiliti berkenaan kerana jumlah pesakit yang sedikit,” ujar Aaron. — DayakDaily