Bekalan air di lapan loji rawatan di Sri Aman kritikal

Pegawai JBALB meninjau keadaan di sekitar sebuah loji rawatan air.

SRI AMAN, Sept 18: Sebanyak lapan buah loji rawatan air di Sri Aman terjejas dan beroperasi secara minima susulan cuaca panas dan kering yang masih berterusan.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak berkata lapan loji tersebut ialah Loji Rawatan Air Bayai, Pantu, Melugu, Stumbin, Seduku, Lingga, Skim Pembangunan Lemanak dan Engkilili.

Pihak JBALB Sri Aman telah mengaktifkan lima pusat pengambilan air iaitu di Bangunan JKR Sri Aman, Flat Kerajaan Negeri Jalan Kedang, Pusat Penjara Sri Aman, Kampung Pakit dan Pasar Lachau.


“Langkah itu bagi menambah keberkesanan dan memudahkan para pengguna yang terjejas untuk mendapatkan bekalan air bersih dan terawat.

“JBALB Sri Aman juga bercadang menambah pusat pengumpulan air di Lingga, Stumbin-Seduku dan Pantu,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kelihatan paras air di sebuah loji rawatan dalam paras kritikal.

JBALB menambah, penghantaran air menggunakan lori tangki juga dilakukan ke kawasan yang teruk terjejas setiap hari sehingga jam 12 tengah malam.

Jelas JBALB, untuk situasi hari ini, paras air Sungai Marup di Loji Rawatan Engkilili telah mengalami kemerosotan yang agak teruk dan berada pada paras amaran.

“Oleh itu, pihak JBALB Sri Aman telah mengambil langkah segera dengan melakukan catuan bekalan air sebanyak dua kali sehari iaitu pada jam 8 pagi hingga 10 pagi, dan 3 petang hingga 5 petang, sehingga keadaan kembali pulih dan normal.”

Sebarang aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Operasi JBALB Sri Aman di talian 083-323240/323242. — DayakDaily