Isu Stadium Negeri tiada CF: Selesaikan bersama, kata Abdul Karim

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Sept: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu isu berkaitan Stadium Negeri yang dilaporkan tiada sijil layak menduduki (Certificate of Fitness atau CF) diselesaikan secara bersama.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata perkara tersebut seharusnya dibincangkan dengan kementerian dan bukan terus kepada media.


“Saya belum dimaklumkan berhubung perkara ini tetapi saya lihat tiada masalah sebab banyak acara telah diadakan di Stadium Negeri termasuk Sukma.

“Ini mungkin khabar angin dan Jabatan Bomba sepatutnya memberitahu kita terlebih dahulu.

“Apalah gunanya membina sebuah stadium, kemudian stadium tersebut tidak mencapai tahap keselamatan tinggi,” katanya.

Justeru, Abdul Karim merasakan perbuatan tidak memaklumkan kementerian terdahulu adalah tidak bertanggungjawab kerana stadium telah mengadakan banyak acara sebelum ini.

Ujar beliau, jika kenyataan dikeluar tanpa merujuk kepada badan-badan berkaitan termasuk kementerian, ia adalah tindakan tak bertanggungjawab.

Media tempatan kelmarin membuat pendedahan berhubung 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara didapati berbahaya dan berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini apabila tidak mempunyai CF atau sijil pematuhan kod (CCC).

Stadium Negeri, Sarawak, adalah antara stadium yang terlibat termasuk gelanggang rasmi pasukan Pahang dan Kedah iaitu Stadium Darul Makmur serta Stadium Darul Aman.

Turut tidak mempunyai CF ialah Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan gelanggang rasmi skuad Terengganu FC, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Stadium lain yang dikenalpasti tidak selamat ialah Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Tunku Abdul Rahman, Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Stadium Sultan Muhammad IV, Stadium Tuanku Syed Putra, Stadium Bandaraya, Stadium Likas, dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. — DayakDaily