Bantuan beg sekolah tanda komitmen kerajaan bantu golongan kurang berkemampuan

Rohani (berdiri tengah) merakamkan gambar bersama para murid selepas majlis penyerahan bantuan beg sekolah.

SEBUYAU, Dis 29: Program penyerahan beg sekolah yang dilakukan ketika ini merupakan tanda komitmen pihak kerajaan bagi membantu golongan murid-murid yang kurang berkemampuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, sumbangan yang diserahkan bagi membantu kumpulan murid yang kurang berkemampuan itu adalah untuk melengkapkan kemudahan peribadi mereka agar murid terus bermotivasi dan selesa untuk hadir ke sekolah.

Menurutnya, sumbangan beg sekolah tersebut juga tanda keprihatinan pihak terbabit dengan harapan dapat meringankan bebanan ibu bapa menyediakan kemudahan persekolahan anak-anak mereka.


“Namun, perkara ini amatlah memerlukan komitmen semua pihak untuk sama-sama membantu golongan murid yang kurang berkemampuan.

“Saya juga mengharapkan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mengenal pasti mereka yang mengalami masalah dan perlu dibantu,” katanya ketika berucap ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Beg Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebelu Sebuyau di sini petang semalam.

Dalam majlis tersebut, seramai 100 orang murid dari SK Kampung Arus Iban, SK Bajong, SK Tebelu, SK Skitong dan SK Tungkah Melayu di sini terpilih menerima beg sekolah bagi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar memberitahu, para ibu bapa diingatkan agar tidak menyalahgunakan baucar bantuan pakaian seragam bagi tujuan lain.

Tegasnya, baucar yang disalurkan oleh kerajaan sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli pakaian seragam sekolah, kasut, beg serta peralatan lain.

“Ini kerana pemberian baucar bantuan tersebut adalah untuk meringankan bebanan kewangan para ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

“Kesemua murid yang layak akan menerima baucar bagi membeli peralatan sekolah di kedai-kedai terpilih. Usaha seperti ini jelas membuktikan kerajaan negeri amat mengambil berat soal kebajikan anak-anak terutamanya pelajar sekolah.

“Sehubungan itu, kita tidak mahu mendengar atau melihat anak-anak kita tidak dapat meneruskan persekolahan hanya kerana tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian sekolah atau tidak ada wang untuk membeli buku serta peralatan persekolahan,” katanya lagi. — DayakDaily