Banjir kilat melanda Kuching, Miri dan Limbang berikutan hujan berterusan, fenomena ‘king tide’

Keadaan beberapa kawasan yang dinaiki air selepas hujan berterusan sejak petang semalam (12 Jan 2021).

KUCHING, 13 Jan: Hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan rendah di sekitar Kuching dinaiki air.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, setakat jam 2 pagi tadi, sebanyak lapan kawasan dilaporkan telah dinaiki air banjir.

“Kawasan terlibat adalah di Kampung Surik di Stapok, Kampung Tabuan Dayak, Jalan Penrisssen di Batu 6, Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi, Taman Hwata, Jalan Rock 2L dan Lorong Sungai Maong Ulu.


Keadaan beberapa kawasan yang dinaiki air selepas hujan berterusan sejak petang semalam (12 Jan 2021).
Keadaan beberapa kawasan yang dinaiki air selepas hujan berterusan sejak petang semalam (12 Jan 2021).
Keadaan beberapa kawasan yang dinaiki air selepas hujan berterusan sejak petang semalam (12 Jan 2021).

“Selain kawasan tersebut, kita juga menerima laporan banjir di beberapa kawasan lain antaranya di Kampung Segong Singai, Bau; Jalan Ensengei, Kampung Rimba Padi; Jalan Kampung Bunuk di Kampung Segu Bunuk dan Jalan Kuala Tatau di Setulan, Tatau,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua JBPM Zon Miri, Penguasa Kanan Bomba Lau Poh Kiong berkata, fenomena air pasang besar atau ‘king tide’ turut menyebabkan bebarapa kawasan rendah khusus di kawasan persisir pantai Miri dekat Kuala Baram dan Pulau Melayu dilanda banjir kilat.

Katanya, pihak bomba turut memindahkan dua keluarga di kawasan terbabit selepas rumah yang didiami mereka dinaiki air.

Anggota bomba Miri membantu memindah mangsa selepas rumah didiami mereka di naik air akibat banjir kilat susulan fenomena air pasang besar atau ‘king tide’.

“Jalan lama Kuala Baram sebelah yang menuju ke Kuala Baram telah diarah tutup kepada laluan kenderaan kerana masih ditenggelami oleh air laut.

“Jalan dari Pulau Melayu menuju ke Lutong juga diarahkan tutup untuk laluan kenderaan kerana laluan tersebut telah dihalang batang balak hanyut serta pasir,” katanya.

Lau berkata, sehingga jam 1 pagi tadi, keadaan banjir kilat di kawasan terbabit telah terkawal dan pemantauan berkaitan diteruskan oleh pihaknya.

Dalam pada itu, di Limbang, fenomena air pasang besar turut menyebabkan beberpa kawasan iaitu di Kampung Patiambun, Perumahan Desa Pebahanan, Kampung Pebahanan, Kampung Buangsiol, Taman Damai, Bandar Limbang dan Kampung Seberang Kedai dinaiki air sedalam dua kaki.

Bagaimanapun, tiada pemindahan mangsa banjir dilakukan memandangkan keadaan di kawasan terbabit masih terkawal. — DayakDaily