21 penduduk Kg Betong terpaksa dipindahkan akibat banjir

Pusat Pemindahan Sementara Banjir di Dewan Masyarakat Kampung Betong, Kenawit, Serian. (gambar fail)

SERIAN, 13 Jan: Seramai 21 mangsa dari Kampung Betong, Kenawit disini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara banjir selepas beberapa rumah di kampung terbabit dinaiki air.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata pusat pemindahan sementara itu dibuka secara rasminya pada jam 10.30 malam semalam.

“Hujan lebat dan berterusan telah menyebabkan limpahan air daripada Sungai Betong yang berhampiran dengan kampung tersebut.

“Limpahan air ini telah menyebabkan beberapa rumah yang berada di kawassn rendah yang didiami oleh 21 mangsa daripada enam keluarga ini dinaiki air,” katanya menerusi satu kenyatan awal pagi tadi.

Katanya, kesemuanya mangsa terbabit kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Kampung Betong Kenawit di sini.

Pada masa sama pemantauan turut dilakukan di kawasan rendah kampung berkenaan bagi menilai risiko kejadian banjir akibat limpahan air daripada Sungai Betong. — DayakDaily