Bahagian Limbang, Kapit dan Miri diisytihar Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika

Dr Adrian Susin Ambud

KUCHING, 30 Ogos: Bahagian Limbang, Kapit dan Miri kini diisytihar sebagai Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika (ASF).

Pengiisytiharan ini dibuat Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud dalam kenyataan hari ini berkata, ia berikutan penemuan penyakit ASF di Sabah dan Kalimantan Utara.


Katanya, Perintah ini dilaksanakan di bawah Seksyen 35 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“JPVS telah melaksanakan langkah-langkah kawalan seperti pengharaman pengimportan babi dan produk babi ke Sarawak dari negara atau negeri yang terjangkit.

“Memantapkan pemantauan dan survelan keatas semua ladang babi komersial dan babi kampung di seluruh Sarawak, kempen kesedaran kepada orang awam.

“Pengembangan dan pendidikan kepada penternak babi untuk meningkatkan pengetahuan tentang penyakit ASF bagi mengelakkan ternakan babi dijangkiti,” katanya.

Selain itu tambah Dr Adrian, JPVS juga mengambil langkah penakaian babi di kawasan yang dijangkiti di Kampung Buduk Bui, Daerah Lawas, Bahagian Limbang.

Ini termasuk pengharaman pengerakan babi dan produk babi dari kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan ASF ke kawasan lain.

“Pengawalan kemasukkan babi dan produk babi dari kawasan lain ke kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan ASF memerlukan Permit Pergerakan dari Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian,” ujar beliau.

Menerusi kenyataan itu, Dr Adrian berkata orang awam yang berada di dalam Kawasan Kawalan ASF tidak dibenarkan memindah atau membawa babi hidup, daging babi atau hasil produk babi keluar dari kawasan kawalan.

Turut  dilarang ialah membawa masuk, berjual beli secara atas talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produk babi tanpa permit.

“Orang ramai juga tidak dibenarkan membeli atau menjual atau menyimpan (fizikal dan atas talian) babi hutan dan babi hutan liar untuk mencegah penyebaran virus,” katanya lagi.

Dalam pada itu, para penternak dikehendaki untuk melaporkan terus kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat atau boleh menghubungi talian Whatsapp 016-284 0918 sekiranya terdapat sebarang keganjilan atau kelainan dalam kadar kematian ternakan di ladang ternakan.

JPVS memberi jaminan bahawa daging babi yang terdapat di pasaran adalah selamat untuk dimakan kerana sumber daging babi tersebut adalah dari ladang yang bebas dari virus ASF

“Selain itu, ASF bukanlah penyakit zoonotik kerana tidak menjangkiti manusia,” tambah Dr Adrian. — DayakDaily