Ayam beku tanpa permit import bernilai RM1.031 juta disita di Bintulu.

Ayam beku yang cuba diseludup masuk.

BINTULU, 19 Nov: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menerusi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuching berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 250,500kg ayam beku baru-baru ini.

Pengarahnya, Herman Shah Abdullah berkata kesemua ayam beku tersebut yang dianggarkan bernilai mencecah RM1.031 juta disyaki diseludup masuk tanpa permit import serta sijil halal yang sah.

Menurutnya, kegiatan tersebut terbongkar hasil daripada risikan dan operasi khas Ops UNIKAR di Pelabuhan Bintulu pada 11 November lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai sebanyak 16,700 karton x 15kg Frozen Chicken 3 Joint Wing, Frozen Chicken Tail, dan Frozen Chicken Leg Quarter, dengan nilai dianggarkan sebanyak RM1.031 juta serta jumlah cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM412,000.

“Kesemua barangan tersebut kemudian disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan JKDM Bintulu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Herman selain itu memberitahu, pihaknya turut menahan seorang ejen Kastam yang mengikrar dagangan tersebut untuk membantu siasatan.

“Modus operandi ialah ejen Kastam mengikrar enam kontena dagangan tersebut sebagai Frozen Mackerel Fish, Frozen Squid, dan Frozen Tuna Fish yang tidak berduti serta tidak tertakluk kepada larangan import bagi mengelirukan pegawai Kastam.

“Bagaimanapun pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan rapi dan mendapati barangan tersebut adalah Frozen Chicken 3 Joint Wing, Frozen Chicken Tail dan Frozen Chicken Leg Quarter yang tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya.

Tambahnya, pengimport disyaki cuba mengelak keperluan permit import serta melarikan duti import sebanyak 40 peratus.

“Dalam kes ini, pengimport didapati tidak mempunyai permit import yang sah dan pengimportan komoditi tersebut tidak disertakan dengan sijil halal yang dikeluarkan oleh Badan Pensijilan Halal negara pengeksport yang diperakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan yang tidak betul dan benar.

“Siasatan juga dijalankan bawah Seksyen 135(1)(a) akta yang sama kerana mengimport barangan yang tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 tanpa permit import yang sah.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088-8855 atau Pejabat Kastam yang berhampiran.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily