Armada Sarawak: Bajet 2021 prihatin rakyat

Alexander Frusis

KUCHING, 8 Nov: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Negeri Sarawak menyifatkan pembentangan Bajet 2021 yang bernilai RM322.5 bilion sebagai belanjawan prihatin rakyat.

Ketua Armada Alexander Frusis berkata, ia mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk melonjakkan semula ekonomi domestik melalui pelbagai subsidi, bantuan dan insentif – insentif yang relevan.

“Semua ini memberi suntikan baharu kepada ekosistem ekonomi yang terkesan akibat wabak Covid-19 yang melanda negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Berhubung peruntukan RM4.5 billion kepada Sarawak, Armada katanya berpendapat peruntukan yang lebih besar perlu disalurkan pada masa hadapan.

Katanya, ini memandangkan Sarawak sebuah negeri yang luas, di samping kawasan pedalaman yang masih daif dari segi kemudahan asas seperti jalan raya, hospital, sekolah, bekalan air bersih dan elektrik.

“Capaian talian telefon dan internet juga harus diberikan perhatian memandangkan ia merupakan keperluan masa kini,”ujar beliau.

Selain itu tambah Alexander, Armada Sarawak juga menyokong penuh peruntukan berkaitan pembangunan infrastruktur di pusat pengajian tinggi.

Menurut beliau, Armada mengambil serius rungutan yang diterima daripada golongan mahasiswa luar bandar yang berlatar belakangkan B40 di mana peruntukan bantuan langsung yang diterima oleh golongan tersebut masih berada di tahap yang agak rendah.

Justeru, beliau berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan bantuan khas kepada pelajar institut pengajian tinggi dalam meringankan beban mereka. — DayakDaily