Armada Sarawak gesa kabinet baharu eratkan hubungan dengan Sarawak

Alexander Frusis

KUCHING, 1 Sept: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sarawak, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa barisan kabinet baharu memainkan peranan dalam mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan di antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.

Ketuanya Alexander Frusis berkata, lebih banyak peruntukan perlu disalurkan ke Sarawak untuk merancakkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi, serta memacu pelaburan domestik.

“Ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak dan menjaga kebajikan peniaga kecil dan sederhana di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Tambah Alexander, pelantikan barisan kabinet yang baharu juga diharap dapat memberikan sebuah anjakan paradigma.

Katanya, ia bagi melancarkan agenda kerajaan dalam membawa negara keluar dari pandemik Covid-19 dan menuju ke arah pemulihan ekonomi dan juga sosial.

Dalam kenyataan itu, Armada Sarawak kata Alexander mengucapkan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dalam tempoh pentadbirannya telah berjaya menyelesaikan tuntutan Sarawak terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

“Ini membabitkan tuntutan cukai jualan (SST) hasil minyak dan gas yang digali di perairan Negeri dimana ia merupakan salah satu isu yang berlarutan sebelum ini,” ujar beliau. — DayakDaily