Anak muda Malaysia kecewa, ekonomi negara tidak menentu — Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, Dis 31: Anak muda Malaysia yang penuh dengan impian dan harapan sekarang berasa kecewa dengan kerajaan negara, menurut Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusuf.

Menurut beliau, mereka berada dalam dilema akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kurangnya peluang pekerjaan.

“Hampir separuh daripada rakyat Malaysia adalah mereka yang berusia 25 tahun ke bawah, dan ini merupakan satu perkara yang harus diberi perhatian sewajarnya.


“Rakyat melihat kerajaan sekarang tidak bekerja untuk perubahan tetapi untuk mengekalkan status quo,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Fadillah yang juga MP Petra Jaya menyeru semua ahli politik supaya berhenti berfantasi, sebaliknya fokus bekerja untuk membawa negara ke arah kemajuan.

Katanya, generasi akan datang akan menilai pemimpin, jika mereka tidak bekerjasama untuk memberikan yang terbaik untuk negara.

“Saya ingin mengajak ahli-ahli politik baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, supaya menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk menambah baik ekonomi negara.

“Bukannya hanya berbicara mengenai isu yang akan memecah belah perpaduan rakyat di negara ini.

“Setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan penting terhadap negara ini dan masa depannya,” katanya.

Kerajaan harus mendengar suara dan kehendak rakyat, tambah Fadillah.

“Hentikan dan tinggalkanlah polemik masing-masing dengan segera.

“Jika kita benar-benar ikhlas dan mementingkan negara, berfikir dan bertindaklah untuk kebaikan negara kita,” katanya.

Ujar beliau lagi, rakyat sudah letih dan bosan dengan ketidaktentuan yang ditunjukkan oleh mereka yang sepatutnya memimpin dan memerintah negara, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Tambah Fadillah, rakyat melihat ahli politik bagaikan lesu dan ketinggalan dengan kedua-dua belah pihak hanya mementingkan survival untuk terus kekal relevan.

Akibatnya rakyat dan keluhan mereka menjadi semakin diabaikan, tegas Fadillah. — DayakDaily