Ahli Parlimen BN Sarawak tarik nafas lega, kerajaan negeri salur peruntukan pembangunan

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING, Mei 18: Semua 19 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sarawak kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri berkata akan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada mereka seperti yang disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan pembangunan yang disalurkan itu adalah merangkumi projek kecil luar bandar (MRP), projek transformasi luar bandar (RTP) dan penyelenggaraan pusat khidmat wakil rakyat.

Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak menambah, peruntukan yang akan diberikan ialah sejumlah RM1 juta bagi MRP, RM5 juta untuk (RTP) dan RM250,000 dana bagi penyelenggaran pusat khidmat wakil rakyat.


“Peruntukan pembangunan tahunan itu adalah mengikut pembangunan projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan di kawasan wakil rakyat itu masing-masing,” katanya selepas majlis perasmian web e-cemetary dan pengagihan bubur Masja-Sa di sini hari ini.

Secara umumnya, peruntukan yang diterima setiap ADUN sebelum itu adalah dalam peruntukan berbentuk RTP dan bukannya secara tunai.

Sebelum itu, satu makmal RTP telah diadakan pada pertengahan tahun 2016.

Adalah tidak perlu untuk mempersoalkan bilangan projek di kawasan bandar sedikit berbanding di luar bandar meskipun peruntukan tahunannya adalah sama berjumlah RM5 juta sebaliknya ini bergantung kepada keadaan di kawasan masing-masing.

Projek di kawasan luar bandar mempunyai jumlah yang banyak berbanding projek di bandar adalah berasaskan kepada nilai dan jenis projek itu.

Sebaliknya, jumlah projek itu adalah berasaskan kepada nilai dan jenis projek yang akan dilaksanakan dan bukannya kepada bilangan projek semata-mata.

RTP mula diperkenalkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem telah banyak membantu dalam pembangunan di kawasan luar bandar dengan melaksanakan projek keperluan rakyat.

Sebelum ini, kebanyakan rakyat di kawasan luar bandar banyak bergantung kepada peruntukan daripada Pejabat Daerah menerusi peruntukan kerajaan Pusat.

Dengan adanya RTP ini, secara tidak langsung telah mempercepatkan pelaksanaan projek-projek kecil di kawasan luar bandar. — DayakDaily