Beri perhatian khusus kepada golongan OKU, kata Dr Teo

Dr Teo (kanan) melawat golongan OKU.

MIRI, Mei 18: Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo hari ini melakukan tinjauan mesra kepada golongan yang memerlukan tumpuan khusus di sekitar Tudan dan Senadin di sini.

Menurutnya, beliau sentiasa memberi perhatian khusus terhadap keperluan orang kelainan upaya (OKU) dan golongan warga emas di kawasan parlimen terbabit.

Katanya, perhatian perlu diberikan terutamanya dalam aspek aksesibiliti merangkumi persekitaran fizikal, pengangkutan awam serta lain-lain kemudahan.

“Jadi, perubahan sikap perlu ada pada umum untuk menerima hakikat sebenar bahawa golongan OKU boleh bekerja dan berdikari.

“Insan istimewa seperti ini harus terus mendepani realiti hidup yang semakin mencabar setiap hari,” katanya di sini hari ini.

Dr Teo menambah, penambahbaikan yang wajar perlu diambil dalam usaha memastikan golongan OKU menikmati kesaksamaan hak dan peluang sama seperti masyarakat lain.

Jelasnya, kerajaan perlu memastikan hak dan peluang sama rata dinikmati OKU dalam mendapatkan akses kepada pekerjaan.

“Perlu ingat golongan OKU dan keluarga mereka mengalami situasi ekonomi lebih sukar berbanding dengan individu normal.

“Ini kerana golongan ini menghadapi cabaran dalam menjalani kehidupan seharian serta komitmen kewangan yang lebih tinggi akibat perbelanjaan tambahan dari segi perubatan dan rawatan,” ujarnya. — DayakDaily