Agnes Padan dilantik Ketua Wanita PKR Sarawak yang baharu

Agnes Padan

KUCHING, 24 Ogos: PKR Sarawak melantik Agnes Padan, 41, berketurunan Lum Bawang dari Lawas sebagai Ketua Wanita
Keadilan Sarawak yang baharu.

Ketua penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Abun Sui Anyit menerusi satu kenyataan semalam berkata, lantikan tersebut dibuat semasa mesyuarat Ketua Wanita Pusat Fuziah Salleh bersama Ketua–Ketua Wanita Cabang Sarawak pada 21 Ogos lepas secara dalam talian.

“Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak sentiasa memberi peluang kepada setiap ahli parti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam kepimpinan dan perjuangan parti demi mengangkat martabat rakyat.

“Oleh sebab itulah pada kali ini, MPN Sarawak telah memberi lampu hijau kepada kepimpinan Wanita Negeri Sarawak di mana seorang pemimpin wanita diangkat untuk mengetuai Majlis Pemimpin Negeri Wanita (MPNW) Negeri Sarawak,” menurut Abun.

Dengan perlantikan itu, tambah Abun, ini adalah kali pertama seorang Orang Ulu dari bangsa Lun Bawang diberi kepercayaan oleh PKR untuk menerajui Wanita Keadilan Sarawak dalam sejarah kewujudan parti tersebut di Malaysia.

Menurut beliau lagi, Agnes adalah seorang yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya di Lawas.

Katanya, Agnes telah memulakan kempen khusus untuk akses penjagaan kesihatan yang lebih baik dan penjagaan kesihatan ibu di luar bandar dan kawasan pendalaman di Sarawak.

“Pada bulan November 2018, Agnes menghasilkan sebuah dokumentari dengan kerjasama Freedom Film Network mengenai keadaan kesihatan ibu di Sarawak, yang disebut ‘The Story of Kam Agong’.

“Dokumentari ini didedikasikan untuk mengenang kisah yang telah meragut nyawa ibunya dan semua wanita dan ibu di Sarawak.

“Kempen itu kemudian berkembang dengan menyampaikan petisyen kepada Menteri Kesihatan pada bulan April 2019 untuk memastikan supaya disediakan sebuah Hospital Daerah Lawas yang baharu,” ujar Abun.

Dengan komitmen itu, tambah Abun, Agnes sangat layak untuk diangkat sebagai Ketua Wanita Sarawak untuk memperjuangkan nasib rakyat melalui politik. — DayakDaily