Agihan peruntukan RM212 juta bagi laksana program KPDNHEP di Sarawak

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 26 Nov: Sarawak memperolehi agihan peruntukan kira-kira RM212 juta menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan program berkaitan di negeri terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada jumlah tesebut sejumlah RM121 juta adalah untuk peruntukan bagi program pengedaran barang perlu, gas LPG dan ‘Community Drumming’ di Sarawak.

“Selain itu, sejumlah RM3 juta anggaran untuk subsidi tepung gandum kegunaan am, RM68 juta anggaran untuk Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS), RM16.20 juta untuk program penyeragaman harga Sarawak bagi menyeragamkan harga minyak masak, tepung gandum serta gula; dan RM310,000 untuk program dan aktiviti kepenggunaan negeri di Sarawak,” katanya dalam ucapan pengulungan kementerian pada sidang Parlimen hari ini.


Nanta berkata, berdasarkan peruntukan berjumlah RM200 juta iatu tambahan sebanyak RM50 juta bagi 2021, kerajaan akan dapat memperluaskan program Community Drumming  ke 137 kawasan baharu termasuk beberapa pulau di Semenanjung dan di Sabah.

Katanya, semua cadangan kawasan termasuk kawasan baharu bagi program terbabit  telah dinilai dengan adil dan telus melalui jawatankuasa penilaian kawasan KPDNHEP.

“Hanya kawasan yang benar-benar layak sahaja akan dimasukkan dalam program ini.

“Dengan peluasan kawasan ini, saya percaya lebih ramai penduduk akan dapat menikmati manfaat daripada program ini bagi tahun 2021 mengatasi manfaat yang telah diberikan pada tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata, KPDNHED turut membantu pengusaha produk makan atau pertanian dari Sarawak dari aspek bantuan pembungkusan dan pelabelan menerusi kolaborasi bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi)  dan Malaysia Design Development Centre (DDEC).

Katanya, melalui usaha tersebut, penebusan produk keluaran pengusaha daripada Sarawak  ke pasaraya utama negara akan menjadi lebih mudah.

“Kementerian telah menjalankan program dan inisiatif seperti Program Suaian Padanan Perniagaan (Business Matching & Pitching Session) secara khusus dan berterusan antara pihak hypermarket dengan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sarawak sejak tahun 2017 lagi dan antara pasaraya besar yang selalu menyertai program ini ialah pasaraya Aeon dan Mydin,” katanya. — DayakDaily