Abdul Karim: Pembatalan Sukma Ke-20 dan Para Sukma 2020, Sarawak akur

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 10 Nov: Sarawak akur dengan keputusan membatalkan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 dan Para Sukma 2020 di Johor akibat ketidaktentuan penularan wabak Covid-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan pembatalan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 adalah tepat.

Katanya, ia mengambil kira keselamatan ribuan atlet, pegawai sukan dan sukarelawan.


“Keputusan tersebut juga telah mengambil kira pandangan dan cadangan daripada Sekretariat Sukma Johor dan pihak kerajaan negeri Johor yang terpaksa membatalkan dua temasya itu yang dijadualkan pada Mac dan April 2021.

“Ini (keputusan) adalah penting kerana bahaya penularan wabak Covid-19 masih nyata dan pihak penganjur (Sukma) pasti mengalami kesukaran dalam menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 atlet dan pegawai yang terlibat nanti,” ujar beliau.

Selain daripada keselamatan atlet yang bertanding, katanya, jumlah besar penonton dan peminat sukan yang dijangka akan hadir ditempat-tempat berlangsungnya acara sukan juga harus diambil kira.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah membuat pengumuman rasmi mengenai pembatalan kedua-dua temasya sukan itu.

Namun negeri Johor tetap diberikan hak penganjuran Sukma edisi tahun 2022 memandangkan hampir 99 peratus kerja-kerja persediaan termasuk perancangan telah siap dilaksanakan.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada Julai lepas, telah ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021 akibat pandemik Covid-19 dan telah dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April 2021. — DayakDaily