MP Hulu Rajang gesa rangkaian jalan sempadan Sarawak-Kalimantan segera dilaksanakan

Datuk Wilson Ugak Kumbong (file pic)

KUCHING, 10 Nov: MP Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong mahukan pembinaan jalan sempadan perlu disegerakan bagi menyediakan akses antarabangsa di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan.

Pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di sidang Parlimen hari ini, beliau berkata, ia perlu memandangkan kerajaan Indonesia bercadang memindahkan ibu kota baharunya ke Kalimantan Timur bermula tahun 2024 secara berperingkat.

“Lokasi ini sangat berdekatan dengan kawasan parlimen Hulu Rajang, iaitu jarak sejauh 400km.


“Sehubungan dengan itu cadangan rangkaian jalan sempadan perlu disegerakan bagi menyediakan akses antarabangsa di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan,” katanya.

Tambah Wilson, pembinaan jalan ini juga bertujuan untuk melindungi kawasan sempadan termasuk aset-aset bernilai berbilion ringgit seperti Empangan Bakun, Murum dan Baleh yang terletak di kawasan parlimen Hulu Rajang.

Menurut beliau lagi, tahap kesiapsiagaan dalam sistem pertahanan negara perlu disegerakan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini di masa hadapan.

Wilson juga mencadangkan agar mewujudkan kompleks CIQ di Tapak Megah dan Long Singgut Baleh.

“Komplek ini nanti dapat mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke Malaysia dan juga mengawal penyeludupan barangan bersubsidi dan dadah ke negara jiran,” katanya. — DayakDaily