Abang Johari berjanji tidak lupakan Satok

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 23 Jan: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa beliau tidak akan lupa kepada Satok.

Beliau yang telah berkhidmat selama 40 tahun sebagai ADUN Satok berkata, keputusan untuk berpindah ke Gedong dibuat setelah meminta kebenaran daripada penduduk Satok.

Katanya, ia adalah untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar khususnya di Gedong dan Simunjan.

“Saya tak lupa Satok, saya pergi ke Gedong kerana sebelum ini iaitu dua tahun yang lepas ADUN Gedong Datuk Mohamad Naroden datang berjumpa saya.

“Dia (Naroden) tanya, ‘Datuk Patinggi boleh tolong orang di luar bandar, bagus ‘kitak’ bertanding di kawasan saya di Gedong?

“Saya jawab ‘Tunggu dahulu, saya tanya orang Satok’. Terima kasih kepada orang Satok kerana melepaskan saya untuk berkhidmat di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kesyukuran anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Disember lepas, Abang Johari menang di kerusi DUN Gedong dengan majoriti 3,607 undi.

Abang Johari menewaskan tiga pencabar lain apabila memperolehi 4,310 undi berbanding calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sarbini yang memperoleh 703 undi.

Dua lagi calon lain iaitu Tomson Ango dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) memperoleh 157 undi manakala calon Parti Amanah Negara mendapat 94 undi.

Tambah Abang Johari, beliau kini sudah ada perancangan untuk membangunkan Gedong dan Simunjan yang sekaligus melibatkan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan terus ke Lingga.

“Kerana kita ada projek jalan pesisir yang sudah tentu dapat membuka sektor pertanian dan sektor perkhidmatan pelancongan.

“Kalau jalan raya sudah siap, Gedong ke Satok tidak jauh lagi lebih kurang 40 minit dengan jalan baharu yang dibina menerusi Samarahan sampai ke Kuching.

“Ini sedang kita laksanakan, apa yang penting kita buka kawasan untuk pertanian,” katanya.

Ujar beliau lagi, kerajaan kini sedang giat untuk membangunkan kawasan luar bandar yang akan meningkatkan sektor ekonomi sekaligus menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030. — DayakDaily