9 suspek ditahan berhubung kes serang warga Indonesia di Bekenu

Antara suspek yang ditahan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Ogos: Polis Miri menahan sembilan suspek lelaki, termasuk lima warga Indonesia kerana disyaki menyerang seorang lelaki pada awal pagi Rabu di sebuah pusat hiburan di Sepupok Niah.

Dalam kejadian, mangsa, berusia 44 tahun, yang juga warga Indonesia mengalami kecederaan pada bahagian belakang badannya akibat ditetak menggunakan senjata tajam.


Mangsa yang tidak sedarkan diri telah ditemui di tepi jalan berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Bekenu sekitar jam 6.50 pagi Rabu oleh pengawal keselamagan ladang terbabit yang kemudiannya memaklumkan pihak polis.

Difahamkan, mangsa kini sedang menerima rawatan di Unit kecemasan Hospital Miri.

Menurut Ketua Polis Miri ACP Hakemal Hawari, kesemua suspek yang berusia antara 22 sehingga 35 tahun itu, ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Miri (JSJ) IPD kurang 24 jam selepas penemuan mangsa pada Rabu menerusi ops cantas yang dilancarkan.

“pihak polis turut merampas beberapa senjata tajam dipercayai telah digunakan dalam pergaduhan itu seperti sebilah Kerambit, pisau pemoting daging, sebutir peluru senapang patah, sebilah parang dan sebuah kereta pick-up,” ujar nya.

Siasatan awal mendapati, pergaduhan itu berlaku di sebuah pusat hiburan milik salah seorang suspek di Sepupok Niah gara-gara berebut perempuan.

Selepas kejadian, beberapa suspek telah membawa mangsa yang telah tidak sedarkan diri ke sebuah ladang di Bekenu dan meninggalkannya di tepi jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain -lain benda yang merbahayakan. — DayakDaily