8 masjid dan surau di Samarahan ditutup berikutan kariah disahkan positif Covid-19

Masjid Al-Kawthar di Kampung Gedon merupakan salah satu masjid yang ditutup berikutan berlakunya kes Covid-19 melibatkan kariah di kawasan berkenaan. Kredit Photo: Masjid-Masjid di Sarawak Facebook

KUCHING, 23 Julai: Lapan masjid dan surau di Bahagian Samarahan telah ditutup sementara kepada orang awam untuk aktiviti ibadat termasuk solat Jumaat dan solat fardhu berikutan berlakunya kes Covid-19 melibatkan kariah di kawasan berkenaan.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, penutupan lapan rumah ibadat tersebut bermula hari ini sehingga 26 Julai serta kerja-kerja sanitasi selesai dilaksanakan.

Lapan rumah ibadat terbabit adalah Masjid Al-Kawthar di Kampung Gedong, Surau As Sobirin di Kampung Tengah Lama Gedong, Surau Nur Addin di Kampung Tengah Hilir Gedong, Surau At Taibin di Kampung Lalang Mayah Gedong, Surau Nurul Islam di Kampung Segera Gedong, Surau Assyakirin di Kampung Baru Gedong, Surau Al Muttaqin di Kampung Lot Baru Gedong dan Surau Madrasatul Nurul Hidayah di Kampung Lalang Hilir Gedong.


“Tiada sesiapapun dibenarkan memasuki masjid dan surau berkenaan dalam tempoh ini kecuali lima orang Jawatankuasa Pengurusan Masjid/Surau dan Pegawai Masjid/Surau untuk azan, solat fardhu dan solat Jumaat.

“Ahli kariah/jemaah masjid dan surau berkenaan adalah dinasihatkan untuk tidak hadir ke mana-mana masjid atau surau lain untuk solat bagi mengekang penularan Covid-19.

“Patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya. — DayakDaily