Rokok, minuman keras bernilai RM144,556 dirampas di Kuching

Gambar komposit suspek, rokok serta minuman keras yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 23 Julai: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai RM144,556 dalam dua serbuan berasingan pada 21 dan 22 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Jalan Tabuan Laru dan satu lagi serbuan di Stampin, di sini.

Katanya, seramai lima individu iaitu tiga wanita dan dua lelaki termasuk ‘tauke’ (pemilik) premis ditangkap dalam operasi tersebut untuk siasatan lanjut.

Tambahnya kesemua yang ditangkap berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dan merupakan semua warga tempatan.

“Pasukan serbuan telah merampas sebanyak 27,840 tin minuman keras dan 26,780 batang rokok disyaki diseludup dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM144,556,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000.

“Selain itu, hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima juga boleh dikenakan sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.

Operasi tersebut adalah kerjasama anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Balai Polis Tabuan Jaya.

“Kita juga mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat berkenaan sebarang kegiatan penyeludupan,” kata Ahsmon. — DayakDaily