7 tekong darat dan 20 Pati ditangkap dari 1 hingga 10 Jun

Gambar komposit menunjukkan operasi yang dijalankan oleh PGA Briged Sarawak.

KUCHING, 10 Jun: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya menggagalkan lima cubaan menyeludup masuk 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Sarawak sejak 1 Jun sehingga hari ini.

Komandernya SAC Mancha Ata berkata dalam kes-kes tersebut, seramai tujuh warga tempatan, termasuk seorang wanita yang disyaki tekong darat diberkas untuk siasatan lanjut.

Beliau memberitahu, kes terbaru adalah hari ini (10 Jun), di mana Pasukan Risik BN11 PGA menahan sebuah van di Pekan Taiton, Bau sekitar jam 1.30 pagi untuk pemeriksaan.


Jelasnya, seramai lapan Pati bersama dua lelaki warga tempatan ditangkap dalam satu operasi tersebut.

Siasatan awal mendapati Pati tersebut masuk ke Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan di jalan tikus sekitar Kampung Selampit dan jalan tikus di Serikin, Bau yang kemudiannya akan diambil oleh pemandu yang menunggu di sempadan.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis van Ford dan tujuh unit telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM7,100.

Menurutnya juga, pada 3 Jun sekitar jam 2.57 petang, Pasukan Task Force Briged Sarawak PGA telah menahan sebuah kenderaan di Bandar Serian.

Hasil pemeriksaan telah membuat tangkapan dua warga tempatan, termasuk seorang wanita bersama tiga lelaki Pati.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dan dua unit telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM47,000.

Tiga lagi kejayaan dicatatkan pada 2 dan 6 Jun iaitu di Mongkos (Serian), Kampung Sepadah (Jalan Bau-Lundu) dan Jalan Gedong-Serian.

Briged Sarawak PGA akan terus meningkatkan kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi dalam isu ini.

Tindakan lebih tegas akan diambil dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 daripada negara jiran. — DayakDaily