Tujuh ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran di Mukah

Pasukan Bomba berusaha memadam kebakaran.

MUKAH, 10 Jun: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Telian Ulu, di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 3.35 petang dan anggota dari Balai Bomba Mukah terus ke lokasi kejadian

Jelasnya, setiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah yang didiami sebuah keluarga terdiri daripada tujuh ahli keluarga termasuk empat kanak-kanak.


Bagaimanapun, semua ahli keluarga berjaya menyelamatkan diri semasa kebakaran tersebut berlaku.

Operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan punca air dari tangki jentera dan sungai.

Selain itu, terdapat dua buah rumah lagi dilaporkan turut mengalami kerosakan kecil akibat kebakaran tersebut.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily