Tempoh pendaftaran PATI di Sarawak dilanjut hingga 30 Jun 2024

Dato Gerawat Gala

KUCHING, 3 Mac: Tempoh pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) oleh majikan di Sarawak menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 dilanjutkan sehingga 30 Jun 2024.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Gerawat Gala berkata, ia selaras dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

Mesyuarat turut melanjutkan tempoh verifikasi sehingga 30 Sept 2024 dan tempoh pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara sehingga 31 Dis 2024.


“Justeru itu, majikan adalah diminta agar mengambil peluang dalam pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 untuk mendaftarkan PATI yang sedia ada di Sarawak.

“Golongan ini adalah sebagai sumber tenaga kerja di semua sektor ekonomi yang terlibat agar pengambilan pekerja asing adalah sah dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Gerawat, pendaftaran juga penting bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak kerajaan.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program ini. — DayakDaily