457 kemalangan, sembilan kematian direkodkan sepanjang Op Selamat Hari Raya Aidilfitri 2023

Dato Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING, 9 Mei: Sepanjang Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri 2023, sebanyak 457 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata jumlah itu telah menunjukkan peningkatan iaitu dari 453 kes pada Op Selamat 18/2022 kepada 457 kes pada tahun ini.

“Dari segi jumlah kes kemalangan maut pula, sebanyak sembilan kes kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat 20/2023 berbanding lapan kes pada Op Selamat 18/2022 iaitu meningkat satu kes.


“Sementara jumlah kematian pula adalah sama iaitu masing-masing merekodkan sembilan kematian pada Op Selamat 20/2023 dan juga sembilan kematian pada Op Selamat 18/2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara faktor-faktor peningkatan jumlah kemalangan yang berlaku sepanjang tempoh Op Selamat 20/2023 ini adalah faktor kecuaian manusia semasa memandu, faktor permukaan jalanraya serta berpunca daripada kenderaan yang di pandu tidak diselenggara dengan baik sebelum digunakan.

“Selain itu, penambahan lebih kurang sebanyak 1,169,722 juta kenderaan yang menggunakan jalanraya di seluruh Sarawak sepanjang tempoh Op Selamat 20/2023 berbanding 1,139,356 atau peningkatan lebih kurang 30,000 atau (+2.7 peratus) pada Op Selamat 18/2022 turut menyumbang kepada jumlah kemalangan jalanraya,” katanya.

Selain itu, PDRM Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 2,014 saman kepada pengguna jalanraya atas pelbagai kesalahan lalulintas pada Op Selamat 20/2023 kali ini laitu menurun sebanyak 74.7 peratus atau 5,942 saman berbanding Op Selamat tahun lalu.

“Pengurangan pengeluaran saman bagi Op Selamat 20/2023 kali ini adalah untuk memberi tumpuan perkhidmatan kepada pengguna jalanraya dalam kelancaran lalulintas, namun penguatkuasaan secara bersasar terhadap kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya tetap dilaksanakan,” tegasnya.

Secara keseluruhannya, Op Selamat 20/2023 PDRM Kontinjen Sarawak telah berjaya merangka strategi merangkumi Op Lancar dan Omnipressense, Show of Force, Enforcement by Objective serta advokasi nilai muni dalam memastikan respon penyuraian aliran trafik dijalankan selain memantau trend lalulintas di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut.

“Pihak PDRM menasihatkan kepada semua pengguna jalanraya agar sentiasa mematuhi peraturan lalulintas serta mematuhi arahan daripada anggota penguatkuasa vang bertugas di jalanraya terutamanya menjelang musim perayaan.

“Selain itu, Pihak PDRM juga meyeru semua pengguna jalanraya supaya sama-sama kita menjaga keselamatan diri dan orang yang kita sayangi ketika berada di atas jalanraya,” ujarnya. — DayakDaily