Lelaki tular lakukan gangguan seksual ditangkap polis di Kuching

PDRM logo

KUCHING, 9 Mei: Seorang lelaki ditangkap polis kerana didakwa disyaki melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap sekitar jam 7 malam semalam di jalan Kampung Rampangi di sini.

Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian.


Sebelum ini, tular satu video yang memaparkan individu melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di media sosial.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes jenayah narkotik dan jenayah harta benda.

“Selain itu, hasil siasatan turut mendapati suspek mempunyai kad rawatan pakar psikiatri dari Hospital Umum Sarawak dan masih menjalani rawatan susulan,” ujarnya.

Satu kertas siasatan telah dibuka yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil Sarawak 1957.

“Jika disabitkan bersalah boleh dihukum penjara sampai lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak polis.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri sarawak untuk arahan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily