415 sampel diambil dari ACD Taman Univista

Laluan masuk ke Taman Univista, Kota Samarahan ditutup bagi mebolehkan ACD dilakukan di kawasan berkenaan- Foto UKAS

KOTA SAMARAHAN, 18 Feb: Sebanyak 415 sampel berjaya diambil daripada 600 penduduk di Taman Univista menerusi proses pengesanan secara aktif (ACD) dari rumah ke rumah di taman berkenaan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) bahagian Samarahan semalam (17 Feb).

Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan, Dr Norhazemi Hassan ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, ACD berkenaan dilaksanakan bagi mengesan kontak rapat kepada indeks kes bagi Kluster Univista melibat tiga lokaliti di daerah berkenaan.

Beliau berkata proses ACD tersebut dikendalikan seramai 53 pertugas KKM dengan dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).


“Terdapat dua jenis pemeriksaan yang dilakukan bagi tujuan pengambilan sampel penduduk iaitu ‘Rapid Test’ (RT) dan ‘Polymerase Chain Reaction’ (PCR).

“Sepanjang proses tersebut penghuni di taman berkenaan telah memberikan kerjasama yang baik kepada semua petugas semasa ACD di laksanakan,” katanya.

Sementara itu, beberapa laluan utama untuk masuk ke taman berkenaan ditutup sementara susulan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) yang dikenakan di kawasan terbabit.

Menurut laporan UKAS, seramai 48 anggota polis serta masing-masing 16 anggota tentera dan rela ditugaskan untuk mengawal kawasan berkenaan sepanjang tempoh PKPD.

Taman Univista diletakan di bawah PKPD selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengisytiharkan Kluster Univista yang melibat tiga lokaliti iatu Taman terbabit, kampung Muara Tuang dan Taman Samarax.

Kluster terbabit yang dikesan pada 16 Februari lalu selepas seorang lelaki berusi 33 tahun didapati positif Covid-19 melalui saringan Individu bergejala.

Indeks kes terbabit merupakan seorang penjual satay di hadapan rumah kediamannya di alamat Taman Univista disini. — DayakDaily