331 OKU terima vaksinasi dos pertama di NMSC

Fatimah (kiri) pada lawatan ke Program Vaksinasi kepada OKU itu adalah di Normah Medical Specialist Centre, Kuching.

KUCHING, 19 Jun: Seramai 331 Orang Kurang Upaya (OKU) telah mendapat vaksinasi dos pertama di Normah Medical Specialist Centre (NMSC) hari ini.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Program Vaksinasi kepada OKU itu adalah anjuran NMSC.

Ia adalah dengan  kerjasama Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).


“Aktiviti ini dijalankan dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan antaranya penggunaan pelitup separuh muka, penjarakkan fizikal, penggunaan hand-sanitiser dan sebagainya.

“Ini membolehkan golongan OKU iaitu kumpulan rentan diberi vaksinasi awal,” katanya semasa melakukan pemantauan program tersebut.

Program yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari itu melibatkan KWKPK (1), pendidikan khas (25), persatuan sukan OKU (143), swasta (159) dan orang perseorangan OKU (3).

Pada minggu hadapan pula tambah Fatimah, kumpulan kedua daripada senarai OKU yang belum divaksinasikan berjumlah kira-kira lebih daripada 300 orang bakal menerima vaksin.

Beliau turut menyeru kepada presiden, pengurus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU serta JKK Kampung untuk memaklumkan kepada pihak Kementerian sekiranya terdapat OKU yang masih belum berdaftar atau belum divaksinasikan.

“Langkah ini adalah untuk memastikan bahawa tiada OKU diluar institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) tercicir daripada proses vaksinasi,” ujar Fatimah.

Sementara itu, seramai 750 OKU dan penjaga mereka telah divaksinasi di Pusat Agape, Sibu pada 16 hingga 18 Jun, 2021 lepas.

Jelas Fatimah, ini adalah hasil kerjasama antara Pusat Agape dengan Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu dan Hospital Bahagian Sibu.

“Untuk bahagian dan daerah lain, pihak JKMS telah diminta untuk membuat ‘Active Tracing’ OKU yang belum divaksin dengan kerjasama JKK seterusnya menyerah senarai tersebut kepada Ketua Pusat Vaksinasi Daerah untuk tindakan selanjutnya.

“Ini adalah untuk memastikan tiada OKU yang layak untuk divaksinasi tercicir daripada proses vaksinasi,” katanya lagi. — DayakDaily